Apakah Hukum Jika Membawa Kanak-Kanak Ke Masjid?

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah Al-Ansori RA, beliau berkata, “Aku melihat Nabi SAW mengimami solat, tetapi sedang mendukung Umamah binti Abi Al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula.” (Riwayat Muslim, no hadis 845)

Berdasarkan hadis ini, dapat diambil pengajaran pergerakan kerana mendukung bayi tidak membatalkan solat.

Ini kerana, dalam sebuah hadis yang lain pula, Rasulullah SAW pernah memanjangkan sujudnya kerana cucunya Hasan dan Husein telah memanjat di belakang Baginda SAW dan bermain-main di atas belakang Baginda SAW. Ini seperti mana yang telah diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad.

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda: “Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil kalian.” [Riwayat Al-Baihaqiy, no Hadis 750) (Imam Al-Baihaqiy mengatakan hadis ini marfuk tetapi tidak sahih (Lihat: Al-Sunan Al-Kubra, 10/177)

Hadis ini tidaklah boleh dijadikan sandaran berdasarkan amalan atau sunnah yang berlaku kepada Baginda SAW sendiri.

Kedudukan hadis ini daripada sudut usul fiqh tidak memungkinkan untuk berhujah dengan hadis yang sahih seperti riwayat Muslim di atas.

Justeru, memberi galakan ke masjid lebih utama sebagai latihan untuk memupuk rasa cinta ke masjid.

Namun, sekiranya kanak-kanak itu dikhuatiri mengganggu jemaah yang lain maka sebaiknya tidak dibawa ke masjid.

Ini adalah zahir jawapan daripada Al-Imam Malik apabila ditanyakan kepada beliau mengenai kanak-kanak yang dibawa ke masjid, maka jawab Al-Imam, “Sekiranya kanak-kanak itu tidak mengganggu orang lain maka tidak mengapa, jika sebaliknya maka sebaiknya tidak di bawa ke masjid.” (Lihat Al-Mudawwanah, 1/195)

Kanak-kanak di masjid

Sejarah membuktikan bahawa kanak-kanak telah dibawa ke masjid untuk diajarkan ibadah solat serta pembelajaran ilmu.

Bahkan kanak-kanak perlulah di bawa ke masjid semenjak kecil supaya perasaan cintakan masjid serta cintakan solat berjemaah dapat dipupuk lebih awal dalam diri mereka.

Dr Yusuf Al-Qaradawi berkata, “Institusi masjid juga boleh mengajar kita erti persamaan. Persamaan manakah yang lebih terserlah berbanding persamaan kaum Muslimin di dalam masjid? Orang tua duduk di samping anak-anak kecil, orang kaya di samping orang yang miskin, menteri di samping buruh, pemimpin di sebelah rakyat, dan ternyata kesemuanya tidak ada perbezaan di antara mereka.” (Lihat: Masjid Parlimen Umat (Hlmn 30)

Hukum bawa kanak-kanak

Pertama: Kanak-kanak dilarang dibawa ke masjid

Sebahagian fuqaha Malikiyyah, Hanabilah, dan Syafieyyah berpendapat kanak-kanak yang belum mumayyiz dilarang atau tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid.

Mereka berdalilkan dengan sebuah hadis: Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda, “Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil kalian.” (Riwayat Al-Baihaqiy, no hadis 750) (Imam Al-Baihaqiy mengatakan hadis ini marfuk tetapi tidak sahih) (Lihat: Al-Sunan Al-Kubra, 10/177)

Kedua: Kanak-kanak dibolehkan hadir ke masjid

Pendapat ini dipegang oleh Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani, Imam Al-Syaukani, dan lain lain. Mereka berhujahkan dengan sebuah hadis daripada Abu Qatadah RAH.

Beliau berkata, “Aku melihat Nabi SAW mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi Al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula.” (Riwayat Muslim, no hadis 845)

Kata Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani RHM ketika mengulas hadis ini: Hadis ini menjadi dalil hukum kanak-kanak masuk ke dalam masjid adalah dibolehkan. (Lihat Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/276)

Mereka juga berdalilkan sebuah hadis sahih daripada Anas bin Malik RAH, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku masuk ke dalam solat dan aku hendak memanjangkannya. Kemudian aku mendengar suara tangisan kanak-kanak maka aku ringkaskan (solat).” (Riwayat Bukhari (666) & Muslim (723))

Kata Al-Imam Al-Syaukani RHM ketika mengulas hadis ini: Pada hadis ini menunjukkan keharusan untuk membawa masuk kanak-kanak ke dalam masjid. (Lihat: Nailul Authar, Al-Syaukani (5/48)

Di dalam Sahih Al-Bukhari [1] Terdapat sebuah hadis yang menceritakan perihal bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.

Al-Imam Al-Mawardi RHM di dalam kitabnya Al-Hawi Al-Kabir menukilkan mengenai permasalahan di atas, kata beliau, “Dan telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat.” (Lihat :Al-Hawi Al-Kabir, 2/340)

Adapun mengenai terputusnya saf, setakat pencarian kami, kami tidak mengetahui salah seorang daripada ulama yang mengatakan terputusnya saf kerana wujudnya kanak-kanak di dalam saf tersebut.

Pendapat ulama kontemporari seperti Syeikh Ibn Baz [2] RHM dan juga Syeikh Ibn ‘Uthaymeen[3] RHM mengatakan bahawa ia tidak terputus. Ia juga adalah pendapat Syeikh Soleh Al-Munajjid. .

Setelah meneliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua kumpulan, kami lebih cenderung dengan hujah golongan yang kedua bahawa kanak-kanak dibolehkan untuk hadir ke masjid berdasarkan dalil-dalil yang sahih lagi sarih berkenaan hal tersebut.

Kedudukan kanak-kanak dalam saf

Berikut beberapa keadaan saf mengikut bilangan makmum dan jantinanya.

Pertama: Jika seorang imam bersama dengan dua orang ataupun lebih dari makmum lelaki, ataupun di belakang imam tersebut terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak maka keduanya berada di dalam satu saf di belakang imam.

Kedua: Sekiranya seorang imam diikuti oleh dua orang makmum lelaki dan seorang perempuan, maka kedua orang lelaki tersebut berada dalam satu saf di belakang imam manakala perempuan tersebut berada di belakang keduanya.

Ketiga: Dalam keadaan ramainya makmum lelaki berserta perempuan dan juga kanak-kanak bersama imam maka kedudukan para makmum lelaki adalah di saf pertama atau kedua-dua saf yang paling hampir dengan imam. Kemudian kanak-kanak berada di belakang mereka. Manakala terdapat suatu pendapat di sisi para fuqaha bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa itu seorang kanak-kanak supaya dia dapat mempelajari pergerakan-pergerakan solat. (Lihat: Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah (27/36-37))

Cadangan

Setelah dibahaskan, maka kami mencadangkan seperti berikut:

1. Jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk di jaga serta mengganggu Jemaah, maka aulanya tidak di bawa ke masjid.

2. Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangkan oleh kedua ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu-bapanya. Kami syorkan dalam keadaan sebegini, ibu-bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu di hujung sekali.

3. Jika kanak-kanak mampu berdikari, aulanya diletakkan di saf kanak-kanak.

4. Sayugia juga wujudnya penyelia yang mengawasi dan membimbing kanak-kanak di dalam saf dan solat mereka agar kanak-kanak dapat melakukan solat dengan sebaik mungkin. Di samping itu, dia dapat menasihatkan kanak-kanak dari berbuat bising dengan mengajarkan adab-adab dan meraikan kehormatan masjid.

Kenyataan Mufti

Setelah kami meneliti dan menekuni perbahasan serta nas-nas yang telah disebutkan di atas, kami berpendapat bahawa galakan membawa kanak-kanak untuk hadir ke masjid adalah bertepatan dengan ruh syarak.

Rumah: Iaitu tempat pembangunan fizikal, adab, dan akhlak bagi kanak-kanak.

Masjid: Selaku tempat pembangunan kerohanian bagi kanak-kanak.

Sekolah: Yang merupakan tempat pembangunan akal fikiran, adab, serta pemikiran kanak-kanak.

Justeru, telah menjadi suatu adat kelaziman ulama dan salafussoleh mengajar anak-anak mereka untuk hadir ke masjid.

Bahkan di zaman mutakhir ini telah terdapatnya halaqah atau majlis pengajian ilmu untuk kanak-kanak yang dijalankan di masjid-masjid seperti di Masjid Al-Haram, Masjid Al-Nabawi, Masjid Al-Umawi, dan masjid-masjid yang terdapat di Mesir.

Kami juga mengesyorkan agar pihak masjid mengawasi kanak-kanak dengan tatasusila dan akhlak yang baik seperti tidak menengking, tidak memarahi, mengasari, serta tidak memukul kanak-kanak.

Sebaliknya pamerkanlah akhlak yang baik serta tunjuk ajar supaya terjalin binaan kasih sayang di antara ibu bapa, pihak masjid, serta kanak-kanak itu sendiri.

*SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri Sumber: Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Post Berkaitan

Leave a Reply